Pertama sekali, marilah kita sama-sama beristighfar dan mengucap syukur di atas nikmat yang Allah berikan kepada kita berupa kemanisan iman dan islam.
Dengan dua nikmat ini, Allah memberikan kita kebersihan hati dalam menilai segala perkara dan menenangkan kita terhadap musibah yang menimpa.
Sebagai permulaan, mari kita melihat dan merenung , apakah yang dimaksudkan dengan istikharah.
Istikharah merupakan salah satu cara yang Allah berikan kepada kita, sebagai salah satu medium kita berserah , tunduk kepadaNYA.
Ianya hanyalah medium perantaraan antara kita dengan Allah, sedangkan natijah yang terhasil dari istikharah itu sendiri adalah pergantungan diri kita terhadap Allah.
Isi terpenting pada istikharah adalah kepercayaan, keyakinan dan kebergantungan kita kepada Allah,itulah yang dimahukan dari istikharah.
Bukanlah istikharah itu kita bergantung pada ruku’ dan sujud yang dilakukan , tetapi adalah tunduknya HATI pada segala ketentuan yang ALLAH telah aturkan.
Selain dari itu, istikharah tidak memperlihatkan masa depan kita, ianya hanyalah medium antara kita dan Allah, sebagai tanda kita betul-betul mengharapkan petunjukNYA dalam setiap perkara yang dilakukan.
Ada yang memahami, bahawa dengan istikharah , maka jawapan paling tepat adalah melalui mimpi. Tidak sekali-kali.
Istikharah merupakan penyerahan penuh diri seorang hamba terhadap segala ketentuan Tuannya.
Dan istikharah dilakukan setelah usaha secara optimum terhadap perkara yang ingin kita lakukan.
Sebagai contoh , dalam bab mencari jodoh, seseorang gadis didatangi seornag pemuda yang entah dari mana datangnya berjumpa dengan keluarganya, menyatakan hasrat di hati ingin memperisterikan gadis tersebut. Maka adalah menjadi tugas warisnya dan dirinya menyelidiki siapakah pemuda tersebut. Apakah benar baik agamanya , kedudukannya seperti yang diberitakan.
Di sinilah peri pentingnya istikharah, dalam menentukan bahawa keputusan yang diambil tidak berdasarkan kegopohan bahkan dari ketenangan hati.
Contoh kedua , apabila sedang dalam pertimbangan mencari sebuah rumah. Maka setelah segala usaha dibuat, diselidiki dan dibuat perbincangan, maka solat istikharah dilakukan, agar segala keputusan yang hadir benar-benar dari ketenangan hati.
Perbincangan , penelitian yang hadir serta nasihat-nasihat yang diterima hasil dari perbincangan adalah satu satu cara seseorang itu memohon istikhrah dari Allah.
Penyerahan kita pada Allah dalam menentukan hasil yang akan kita perolehi adalah setelah kita berusaha secara optimum sebelum dan selepas solat sunat istikharah.
Isi Terpenting Istikharah
Mengapa dalam pelbagai hal, perlu kita istikharah?
Apakah tidak boleh terus sahaja kita melakukan hal tersebut?
Kita tidak menafikan bahawasanya kita mempunyai akal yang diberikan dengan penuh kesempurnaan, tetapi kesempurnaan akal dalam berfikir punyai hijab yang kita tidak boleh menyingkapnya, itulah perkara akan datang.
Keterbatasan akal merupakan salah satu kekurangan yang akal punyai, dan kekurangan ini perlu ditampung dengan sesuatu, agar kelak kemudian, ianya menjadi suatu kesempurnaan.
Inilah yang dimahukan Tuhan Yang Mencipta, Allah, yang Maha Bijaksana, Dia memberikan manusia sesuatu tetapi tidak memberikannya sepenuhnya, agar manusia kembali kepadanya.
Oleh itu, ingatkan kamu kepadaKU (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKU) supaya aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKU dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKU) (152)
Wahai sekalian orang-orang yang beriman ! Mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan dengan sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang bersabar (153) (Sapi Betina -Albaqarah)
Bila Mahu Dilakukan?
Imam Bukhari;
Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
Mengapa Solat?
Kerana solat itu penghubung antara hamba dan Tuannya.
Di dalam solat itulah terdapat saat Allah paling dekat dengan hambaNYA, itulah sujud.
Dengan solat, seseorang boleh mengadu kepada Tuhannya seperti seorang anak mengadu kepada ibunya.
Kasih sayang Tuhan, melebihi kasih sayang seorang ibu.
Dengan solat juga, ianya peluang dan saat mengingati Tuhan paling maksimum.
Setiap tindakan , ruku’ , i’tidal, sujud , berdiri , tahiyyat, semuanya memuji-muji Allah, penguasa sekelian Alam.
Maka benarlah, solat itu pengubat hati yang bergelora, hati yang gersang dengan kasih sayang, hati yang memerlukan bimbingan, maka solatlah, ianya punca kedamaian dan ketenangan.
Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;
- Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
- Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
- Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
- Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
- Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)
Terjemahan Doa':
Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)
kredit to : UMARALFATEH & DARUSSYIFA'
1 comment:
salam, thanks for sharing ira. nisa pernah buat sekali je seumur hidup ;') but Solat sentiasa buat kita berasa tenang..
I miss you ♥
Post a Comment