SEJARAH PENUBUHAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PEREMPUAN MELAYU, MELAKA
Pada tanggal 31 Januari 1935, The Malay Women’s Training College (MWTC) dibuka secara rasminya oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat. Pihak kerajaan kolonial British pada ketika itu telah mengubah suai blok-blok bangunan lama Hospital Melaka di Durian Daun, Melaka untuk dijadikan maktab perguruan.
Pengetua pertama MWTC ialah Cik Purdon iaitu bekas Penyelia Wanita Sekolah-Sekolah Melayu, Negeri-Negeri Selat dan pembantunya Cik M. Lomas. Pengambilan pertamanya ialah sebanyak 24 orang pelatih yang dibuat secara menyeluruh iaitu 14 orang dari Negeri-Negeri Selat dan 10 orang dari Negeri-Negeri Melayu. Pelatih-pelatih adalah lulusan Darjah 5 Sekolah Melayu yang berjaya melalui proses temu duga yang dijalankan oleh Bahagian Pelajaran.
Tujuan MWTC ditubuhkan adalah untuk melatih guru wanita Melayu khususnya bagi sekolah rendah perempuan, aliran Melayu. Maka, kurikulum guru lebih cenderung kepada mata pelajaran seperti Sains Rumahtangga, Ilmu Kira-Kira, membaca dan menulis rumi. Pelatih mempelajari keseluruhan sukatan pelajaran untuk sekolah perempuan dari darjah 1 hingga darjah 5. Pada peringkat awal penubuhannya, lulusan maktab ini dianugerahi sijil perguruan kemudiannya diploma perguruan dan apabila dinaik taraf sebagai Insitut Pendidikan Guru maka guru pelatih dianugerahi ijazah pertama perguruan.
Selepas merdeka, maktab ini bertukar namanya kepada Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM), Institut Perguruan Perempuan Melayu (IPPM) dan mulai 25 Ogos 2008 dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPG KPM). Sepanjang 75 tahun penubuhannya, MWTC/MPPM/IPPM/IPG KPM dianggap unik kerana maktab ini satu-satunya institusi latihan guru yang melatih bakal guru-guru perempuan, berketurunan Melayu dan beragama Islam. Sejak penubuhannya, institut pendidikan ini telah menghasilkan lebih dari dua puluh ribu guru pelatih. Guru-guru lepasan MWTC/MPPM/IPPM/IPG KPM banyak yang berjaya dalam bidang pendidikan, politik, kesusasteraan dan menjadi role model dalam kalangan masyarakat.
p/s : Walaupun tidak dapat bersama-sama menyambutnya..sy bangga menjadi warga IPG KPM, Melaka..(^_^)^